KUALA LUMPUR, 23 Nov - Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) merupakan penaiktarafan kepada sistem MERS 999 yang telah beroperasi sejak 2007 dan bukannya projek baharu, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kontrak terbaharu yang dilaksanakan oleh Telekom
Malaysia (TM) melibatkan pembaharuan peralatan serta perisian yang telah usang,
termasuk sistem lama yang masih menggunakan platform lapuk seperti Windows XP.
“Banyak peralatan dan perisian telah mencapai tarikh lupus. NG
MERS 999 adalah kesinambungan dan penaiktarafan kepada sistem sedia ada sejak
2007,” katanya.
Menurut Fahmi, liputan sistem NG MERS 999 kini telah diperluaskan
kepada lebih 800 lokasi di seluruh negara, berbanding sekitar 400 lokasi
sebelum ini.
Mengulas mengenai aplikasi SaveMe999, beliau menegaskan aplikasi
tersebut bukan pembangunan baharu dan tidak bernilai RM1.25 bilion seperti yang
didakwa, sebaliknya telah diperkenalkan sejak 2013 dan hanya melalui proses
penambahbaikan.
“Penambahbaikan itu termasuk integrasi aplikasi bagi kegunaan
golongan orang kurang upaya (OKU). Kos pembangunan aplikasi adalah sangat
minima, manakala sebahagian besar kos melibatkan pengurusan data yang berjumlah
kira-kira RM830,000 setahun,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah meminta TM untuk
mengintegrasikan penggunaan MyDigital ID serta menambah baik pengalaman
pengguna (UX) bagi versi aplikasi yang akan datang.
Sementara itu, Fahmi berkata penganjuran Seminar Kesedaran
Penipuan Siber oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR)
adalah selari dengan usaha kerajaan meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan
dan kemahiran praktikal masyarakat dalam mengenal pasti, mengelak serta
melaporkan pelbagai bentuk penipuan siber.
Seminar yang disertai lebih 100 peserta itu diadakan sebagai respons terhadap peningkatan kes jenayah penipuan siber yang semakin membimbangkan serta memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi negara.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment