Maharani Freeport Dijangka Wujud 45,000 Peluang Pekerjaan, Perkukuh Rantaian Bekalan Negara – PM Anwar

MUAR, 29 Nov - Pelancaran projek Maharani Freeport dijangka mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan selain memperkukuh daya saing logistik maritim serta meningkatkan ketahanan rantaian bekalan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pembangunan berteraskan konsep “daripada rakyat untuk rakyat” itu diunjurkan menyediakan sekurang-kurangnya 45,000 peluang pekerjaan, selain menarik penyertaan industri sokongan dan membuka ruang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk terlibat secara langsung dalam perdagangan antarabangsa.

“Melalui Maharani Freeport, kerajaan berhasrat mengukuhkan tonggak ekonomi maritim negara dengan memperluas kapasiti pelabuhan, meningkatkan daya saing logistik serta memperkukuh penglibatan Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Pelancaran Maharani Freeport di Tanjung Emas, di sini hari ini.

Menurut Anwar, projek berkenaan akan berfungsi sebagai gerbang strategik logistik dan pelaburan yang menghubungkan pasaran Timur dan Barat menerusi Selat Melaka, di samping meningkatkan kebolehpercayaan bekalan serta mengurangkan kos operasi perdagangan.

“Setiap tahun, kira-kira 100,000 kapal merentasi perairan Selat Melaka, membawa hampir satu perempat daripada perdagangan minyak laut dunia serta sebahagian besar perdagangan global,” katanya.

Beliau menambah, dengan status sebagai pelabuhan bebas, pembangunan mega itu akan menawarkan tahap kesalinghubungan bertaraf dunia bagi menarik minat pelabur antarabangsa yang mengutamakan kecekapan, fleksibiliti serta akses strategik ke pasaran Asia yang berkembang pesat.

Maharani Freeport dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi wilayah dan negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik dan perdagangan maritim serantau.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post