Kerajaan Persekutuan, Sabah Laksana Pemantauan Bulanan Projek Infrastruktur Mulai Jan – PM Anwar

KOTA KINABALU, 6 Dis - Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan pemantauan bulanan terhadap semua projek infrastruktur utama melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya di negeri itu bermula Januari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan baharu berkenaan bertujuan memastikan isu asas yang masih berlarutan di beberapa kawasan dapat ditangani segera, selain mengurangkan kelewatan dalam pelaksanaan projek pembangunan.

Beliau berkata pemantauan itu merangkumi projek di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk pembaikan sekolah, pembangunan infrastruktur kampung, projek Lebuhraya Pan Borneo serta kerja-kerja naik taraf kritikal lain.

“Saya telah mencadangkan kepada jawatankuasa di Jabatan Perdana Menteri supaya mulai Januari, pemantauan projek dilaksanakan secara bersama dengan kerajaan negeri. Semua projek kerajaan negeri dan Persekutuan akan dipantau kemajuannya setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata sistem pemantauan bersama yang melibatkan pegawai daerah serta agensi pembangunan negeri dan Persekutuan itu dijangka mempercepat pelaksanaan ratusan projek yang telah dirancang, berbanding pendekatan sebelum ini.

Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap komitmen pembangunan bukan sekadar pengumuman, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan di peringkat lapangan.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengarahkan agar tiada lagi penangguhan dalam kelulusan projek Persekutuan di Sabah.

Sementara itu, Anwar berkata sepanjang dua hari berada di Sabah semasa tempoh pilihan raya negeri, beliau berpeluang meninjau sendiri keadaan di lapangan serta bertemu tokoh tempatan, sekali gus memberi kefahaman lebih mendalam terhadap kekuatan pelbagai suku kaum dan keperluan sebenar pembangunan negeri.

Beliau berkata kehadirannya ke Sabah sejurus selepas pilihan raya adalah bagi menepis tanggapan bahawa ahli politik hanya menabur janji ketika kempen, tetapi gagal menunaikannya selepas kemenangan diraih.

“Kerajaan perlu membuktikan kesungguhan sejak awal dengan segera turun padang dan melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post