Kerajaan Alu-alukan Leonardo Jadikan Malaysia Hab Keselamatan Siber Asia Tenggara

SHAH ALAM, 3 Dis - Kerajaan mengalu-alukan hasrat syarikat pertahanan dan teknologi global, Leonardo, untuk menjadikan Malaysia sebagai hab keselamatan siber serantau, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai pusat teknologi digital di Asia Tenggara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata hasrat berkenaan memberi isyarat positif bukan sahaja kepada pasaran domestik, malah kepada pemain industri di peringkat serantau.


“Memang hasrat pihak Leonardo adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab dan perkara ini amat dialu-alukan. Ia menghantar isyarat yang sangat kuat kepada pasaran, bukan hanya dalam negara tetapi juga di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Keselamatan Siber Serantau Leonardo di sini hari ini.

Mengulas kemungkinan kerajaan mendapatkan khidmat Leonardo dalam aspek keselamatan siber, Fahmi berkata peluang tersebut wujud namun perkara itu belum dibincangkan secara terperinci.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan termasuk Timbalan Ketua Setiausaha kementerian serta agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti dan mempertimbangkan tawaran serta kepakaran syarikat antarabangsa berkenaan.

“Saya percaya Leonardo juga boleh menjadi antara pasukan yang dimaksudkan, namun keputusan itu bergantung kepada NACSA dan MKN,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan kepentingan setiap organisasi, termasuk sektor perniagaan dan kerajaan, untuk mewujudkan jawatan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) bagi memastikan tahap kesedaran dan pengurusan risiko keselamatan siber diperkukuh di semua peringkat.

“CISO perlu memimpin perubahan budaya dalam organisasi supaya semua pihak, daripada pengurusan tertinggi hingga kakitangan junior, memahami bahawa kegagalan menjaga keselamatan siber boleh menjejaskan keseluruhan organisasi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kakitangan yang meninggalkan organisasi atau bertukar jawatan masih berisiko menjadi sasaran serangan pancing data (phishing), selain ancaman perisian hasad (malware) yang membolehkan penjenayah siber mencuri maklumat.

Menurutnya, setiap kementerian kini telah mempunyai ketua pegawai data, dan beberapa pindaan serta penambahan sumber manusia berkaitan keselamatan siber akan dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post