Lapan masalah utama ketika penyusuan susu ibu dan cara mengatasinya

MENYUSUI bayi bukan sesuatu perjalanan yang mudah dan penuh cabaran terutamanya bagi ibu yang baru pertama kali menyusukan anak. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan perlu diatasi dengan baik dan bijak agar ibu dapat menikmati perjalanan penyusuan eksklusif susu ibu selama dua tahun dengan ceria.

susu-ibu


Berikut adalah antara beberapa masalah yang biasa dialami oleh ibu yang menyusukan anak dengan susu badan dan cara-cara mengatasinya.


1) Rungutan susu tidak ada selepas melahirkan


Selepas melahirkan anak sama ada secara normal ataupun melalui pembedahan, secara zahirnya setiap ibu berupaya untuk menghasilkan susu disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku di dalam badan mereka.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan terdapat rungutan dari ibu yang baru selepas melahirkan anak yang pertama yang mana mereka menyatakan bahawa susu badan mereka tidak keluar.

Faktor utama yang menyebabkan masalah ini adalah stress di kalangan ibu yang baru pertama kali melahirkan dari sebelum proses melahirkan sehingga selepas bayi dilahirkan.

Sakit kontraksi, jahitan selepas bersalin serta proses kelahiran yang agak sukar sehingga memerlukan penggunaan peralatan bantuan, kelahiran secara paksa serta pembedahan menjadi faktor yang menyumbang kepada stress.

Stress boleh mengganggu penghasilan hormon oksitosin yang mana ia diperlukan untuk menghasilkan susu ibu. Oleh itu, amatlah penting bagi ibu untuk mengenalpasti situasi yang boleh menyumbang kepada stress dan cuba untuk hadapinya dengan lebih tenang agar penghasilan susu tidak tergendala.

Teruskan menyusukan bayi anda agar hisapan dari mulut bayi mampu merangsang kelenjar pituitari untuk menghasilkan susu ibu.

Terdapat kurang daripada dua peratus ibu yang benar-benar mempunyai masalah kesihatan sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menghasilkan susu ibu. Contohnya ibu yang mempunyai masalah ketumbuhan pada kelenjar pituitari di bahagian otak boleh menyumbang kepada ketiadaan susu. Apabila hal ini berlaku hormon oksitosin tidak dapat dirembeskan dan tiada rangsangan untuk penghasilan susu ibu.



2) Bayi suka menggigit puting payudara

Setiap ibu yang menyusukan bayi pasti tidak pernah lepas daripada mimpi buruk ini. Kesakitan akibat puting digigit pasti akan membuatkan anda seriau untuk menyusukan anak. Apabila keadaan ini, terjadi, cuba alihkan bayi anda perlahan-lahan dan katakan dengan tegas, "Jangan gigit ibu!". Serahkan bayi kepada orang lain seketika sebelum mengambilnya semula untuk disusukan.

Ini ialah untuk menyampaikan mesej jelas kepada bayi untuk mengajarnya bahawa dia tidak dapat menyusu jika menggigit. Terdapat sesetengah bayi gemar menggigit ketika berada di hujung penyusuan setelah mereka merasa kenyang. Anda boleh menganggarkan berapa minit biasanya anak anda menyusu dan cuba lepaskan hisapan lebih awal dari kebiasaan.

Ada sesetengah bayi gemar menggigit jika mengalami selsema atau hidungnya tersumbat kerana keadaan itu boleh menjejaskan cara dia menghisap. Bayi juga suka menggigit puting ketika gigi mula tumbuh. Cuba berikan gegelang gigi untuk dikunyah sebelum dan di antara penyusuan.

gusi-gatal


3) Puting leper, tenggelam serta merasa pedih


Bagi mereka yang punyai puting leper dan tenggelam, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah galakkan bayi untuk memasukkan sebahagian besar mulutnya ke dalam payudara. Tarik keluar puting sebelum mula menyusu bayi dengan merangsangnya, menarik areola atau menggunakan pengepam payudara.

Puting anda boleh merasa sakit dan pedih disebabkan posisi penyusuan yang tidak betul disebabkan angkitan kulat candida dan penggunaan pengepam payudara secara tidak betul. Pastikan anda mendapatkan nasihat perubatan bagaimana proses yang betul untuk menyusukan bayi, melakukan lekapan yang betul, dan membersihkan puting payudara anda selepas menyusui bayi.

Jika puting payudara anda terluka, hentikan penyusuan bayi pada payudara yang luka sehingga ia sembuh untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Pastikan anda memakai pakaian yang longgar untuk memberikan ruang agar puting terdedah kepada udara dan melegakan rasa pedih. Jika pengaliran susu anda terlalu laju, pastikan anda memakai pelapik coli dan menukar secara kerap serta menggunakan pelindung puting untuk mengelakkan puting anda bergesel dengan pakaian.

Oleh kerana pada waktu ini puting anda berada dalam keadaan yang sangat sensitif, elakkan daripada menggunakan sebarang sabun, krim ataupun losyen pada puting sebaliknya sapukan sedikit perahan susu pada puting untuk membantu menyembuhkannya.


4) Payudara bengkak, keras dan terdapat ketulan kecil

Payudara bengkak adalah satu perkara yang biasa berlaku dalam tempoh 2-4 hari selepas kelahiran. Ini memberi petanda susu tidak mengalir keluar dengan betul.

Jika ini berlaku, susui bayi anda dengan kerap dan tuamkan payudara anda dengan air panas ataupun suam. Jika masih bengkak. pastikan anda mememerah sedikit susu sebelum dan selepas menyusui bayi. Susu yang telah diperah usah dibazirkan kerana ia boleh disimpan untuk tempoh lama dengan cara yang betul seperti yang disarankan dalam buku panduan bayi.

pam-susu


Jika anda merasa ketulan kecil pada payudara, ia disebabkan oleh salah satu saluran susu tersumbat. Apa yang boleh anda lakukan untuk melegakan keadaan ini adalah dengan melakukan urutan secara perlahan ke bawah mengarah ke arah puting sebelum dan ketika penyusuan.

Letakkan tuala lembab dan hangat ke kawasan tersebut sebelum menyusukan bayi. Jika memerah susu, elakkan daripada menekan tisu-tisu payudara terlalu kuat. Pastikan juga ibu tidak memakai coli yang terlalu ketat.



5) Penghasilan susu merosot dan tidak mencukupi


Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kemerosotan penghasilan susu iaitu kekerapan penyusuan, pemakanan, stress dan ketidakyakinan diri.

Pengaliran susu mungkin menjadi berkurangan disebabkan wanita tidak memulakan penyusuan awal atau tidak menyusui bayinya dengan kerap. Keadaan ini dapat diatasi dengan cara menyusui bayi pada bila-bila masa dia merasa lapar. Anda perlu memastikan anda menyusui bayi anda menggunakan kedua-dua belah payudara pada jarak antara penyusuan tidak melebihi 2 jam. Sekerap yang boleh bayi perlu diberikan peluang untuk menghisap payudara untuk merangsang penghasilan susu ibu.

Pastikan anda dalam keadaan tenang dan mampu mengawal stress anda. Perasaan tertekan atau kurang keyakinan tentang kemampuan untuk menyusi bayi juga boleh menyebabkan susu berkurangan.

Anda juga perlu memastikan pengambilan makanan yang kaya nutrien dan seimbang agar penghasilan susu anda tidak terjejas.

Anda juga boleh mendapatkan khidmat doktor untuk mendapatkan nasihat pemakanan dan preskripsi ubat yang boleh merangsang penghasilan susu.



6) Bayi meragam ketika menyusu


Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan masalah ini adalah membawa anak berjumpa pakar pediatrik bagi melakukan pemeriksaan untuk memastikan sama ada bayi itu mempunyai masalah kesihatan yang mengganggu penyusuan atau tidak.

Kadangkala, perubahan emosi pada ibu dan bayi menjadi penyebab bayi tidak mahu menyusu contoh dalam keadaan ketika didatangi oleh ramai orang yang ingin menziarah, atau dkerumuni ahli keluarga, ketika dalam kenderaan untuk perjalanan jauh atau berada di tempat yang asing sehingga menyebabkan bayi berasa cemas.

Bayi juga mungkin meragam ketika tumbesaran atau ketika menyusu kerana tidak sabar dengan aliran susu yang laju. Pasti anda pernah melalui keadaan di mana bayi menggemari sebelah payudara sahaja. Ini kerana bayi mungkin berasa selesa dengan aliran susu di payudara tersebut yang mana  kemungkinan paduraya yang satu lagi mempunyai aliran susu yang lebih laju atau pun lebih sedikit.

Jika bayi meragam di penghujung penyusuan ini menandakan dia mahu sendawa, sudah kenyang atau sekadar mahu melakukan hisapan bukan ingin menyusu.

Kadangkala pemakanan juga menjadi punca bayi meragam dan tidak mahu menyusu. Anda perlu peka dengan makanan yang anda ambil dan jika bayi anda meragam setiap kali selepas anda mengambil sesuatu makanan itu, hentikan pengambilan makanan tersebut selama seminggu atau dua minggu dan perhatikan sama ada keadaannya yang bertambah baik atau tidak.


7) Menyusui bayi dalam keadaan hamil


Untuk kebaikan anda dan janin di dalam kandungan, sebaik-baiknya ibu berhenti menyusukan anak kerana dikhuatiri janin didalam kandungan mengalami kekurangan nutrien dan zat makanan yang boleh mengganggu proses tumbesarannya.

Menyusukan anak ketika hamil juga dikhuatiri boleh menyebabkan ibu juga mengalami kekurangan zat sehingga mengganggu kesihatan tubuh, meningkatkan risiko keguguran terancam (threatened abortion), kekurangan darah dan mengalami keletihan berpanjangan.

Menyusukan bayi ketika hamil juga boleh menyebabkan kontraksi pada rahim dan kesakitan pada payudara. Ini kerana penyusuan boleh merangsang pengecutan rahim seterusnya menyebabkan anda merasa terdapat kontraksi berlaku.

Anda mungkin mengalami kesukaran untuk memberhentikan penyusuan secara tiba-tiba. Oleh itu dalam proses memberhentikan penyusuan, pastikan anda mengamalkan amalan diet yang seimbang serta mengambil protein dan zat besi yang tinggi bagi mengelakkan sebarang komplikasi.



8) Bayi enggan menyusu ketika sakit




Bayi yang tidak sihat lebih-lebih lagi yang mengalami sakit tekak atau jangkitan telinga boleh menyebabkannya hilang selera untuk menyusu.Apa yang boleh anda lakukan adalah cuba susukan anak anda dengan posisi yang berbeza terutamanya apabila dia dalam keadaan tegak.


Kerapkan menyuakan payudara kepadanya pada setiap jam untuk menggalakkan bayi menyusu. Jika bayi masih enggan menyusu cuba berikan bayi anda perahan susu dengan menggunakan sudu ataupun cawan. Jika keadaan semakin tidak terkawal, pastikan anda membawa anak anda berjumpa doktor untuk mengenal pasti tahap kesihatan anak anda.

bayi-tidak-mahu-menyusu


Walaupun pelbagai cabaran dihadapi oleh ibu dalam perjalanan menyusukan bayi, perkara utama yang perlu ditanamkan oleh ibu adalah semangat dan kesungguhan untuk menamatkan tempoh penyusuan selama 2 tahun dengan jayanya. Jika ada kesungguhan dan keinginan pastinya setiap cabaran yang dihadapi dapat dilalui dengan tenang. Sesungguhnya susu yang terbaik untuk anak anda adalah susu ibu. Semoga semua ibu di luar sana mampu menjayakan penyusuan susu ibu walaupun apa jua rintangan dihadapi.

Post a Comment

0 Comments