Gangguan bekalan air Selangor berpunca dari pencemaran di Negeri Sembilan

PENCEMARAN bau di Sungai Semenyih, yang telah mengakibatkan penutupan loji rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sejak jam 4:30 petang semalam disyaki berpunca daripada Industrial Estate Nilai, Negeri Sembilan.

Amirudin Shari Tuan Ibrahim

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata siasatan awal mendapati bahawa air tercemar telah mengalir ke dalam sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang hampir dengan kawasan perindustrian itu.

"Pada masa ini kita perlu menunggu pencemaran bau berkenaan hilang sebelum loji boleh beroperasi semula. Setakat ini kita tidak tahu berapa lama (masa diambil) kerana kita masih lagi sedang menyiasat punca," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selepas diberikan taklimat dari Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesyen Loji Rawatan Air Mentah di Jenderam Hilir malam tadi.

Sejumlah 309,687 pengguna di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air disebabkan penutupan dua loji rawatan air semalam.

Menurut Tuan Ibrahim sample air yang diambil dari Sungai Semenyih pada jam 4:30 petang semalam menunjukkan bacaan 4 TONNE, manakala pada 9.00 malam bacaan itu meningkat kepada 11 TONNE.

"Jadi sukar untuk kita menjangkakan sama ada ia akan terus meningkat, selagi punca pencemaran tidak dapat dikenalpasti dan dihentikan. Warna (air sungai berkenaan) juga menjadi keruh.

Tuan Ibrahim menekankan bahawa mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan pencemaran akan diarah menutup operasi, dan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, kata Amirudin Kerajaan Negeri Sembilan dan jabatan Alam Sekitar negeri telah dihubungi berhubung perkara berkenaan.

"Sungai Batang Benar bersambung dengan Sungai Pajam, dan dari Sungai Pajam air mengalir ke dalam Sungai Semenyih. Jaraknya sekitar 30km, dan ia kini (pencemaran) bukan sahaja merentas daerah tetapi juga merentas negeri," katanya.

Tambahnya lagi, bagi penyelesaian jangka masa lebih panjang, Kerajaan Negeri Selangor telah berbincang dengan Menteri Alam Sekitar dan Air untuk menggunakan air dari tasik Putrajaya sebagai alternatif sekiranya berlaku gangguan bekalan air di Selangor pada masa hadapan.

"Kita telah membuat kiraan, sekiranya berlaku pencemaran kita mampu bertahan selama 7 hari (menggunakan air dari Tasik Putrajaya). Dengan komitmen yang diberikan oleh menteri, kami berharap dapat mengatasi masalah itu dan kami telah sedia untuk berbincang berhubung kos yang diperlukan," katanya. — EdisiRakyat.com, 5 Oktober 2020

Post a comment

0 Comments