Asia berdepan ancaman virus dari kandang babi, dengan kadar kematian 75% jika dijangkiti

KETIKA masyarakat seluruh dunia berdepan dengan pandemik Covid-19, penduduk Asia dijangka bakal berdepan dengan satu lagi ancaman virus mempunyai kadar kematian jauh lebih tinggi jika dijangkiti.



Ancaman itu ialah daripada virus Nipah, sejenis virus RNA yang berasal dari kelawar sama seperti SARS-CoV-2 (Covid-19), yang sebelum ini pernah merebak di Malaysia, Singapura, India dan Utara Australia lebih 20 tahun lalu.

Ladang Babi

Kini, para penyelidik virus memberi amaran virus itu berpotensi untuk menjangkiti lebih ramai orang jika tiada pengajaran diambil dari penyebaran Covid-19.

Virus Nipah pertama dikesan dalam tahun 1999 selepas berlaku penyebaran virus itu di Malaysia. Ketika itu sebanyak 265 kes 'acute encephalitis' (keradangan otak) dicatatkan, yang bermula dari ladang ternakan babi.

Pada peringkat awal jangkitan itu dikaitkan dengan Japanese Encephalitis (JE), namun ia segera dibetulkan dan dikenali sebagai Virus Nipah tidak lama kemudian.

Sejak dari peristiwa itu, wabak-wabak kecil dilaporkan berlaku hampir setiap tahun sejak 2000 hingga 2020, di mana jangkitan menunjukkan kadar kematian yang begitu tinggi sehingga 75 peratus.

Ramai yang mempersoalkan mengapa virus seperti ini dengan kadar kematian tinggi boleh dianggap memberi risiko pandemik sedangkan biasanya penyakit seperti ini segera membunuh individu yang dijangkiti dengan cepat dan ia tidak begitu efektif untuk disebarkan secara meluas kepada masyarakat.


Namun perlu diketahui, inilah perbezaan virus nipah berbanding virus-virus lain. Meskipun simptom jangkitan virus nipah berlaku di antara 4 hingga 14 hari selepas jangkitan, namun ada ketika virus itu boleh mengalami inkubasi pada jangka masa yang sangat panjang iaitu sehingga 45 hari.

Sebaik sahaja tempoh inkubasi tamat barulah simptom-simptom termasuk demam, pening dan muntah-muntah akan muncul mirip seperti jangkitan influenza.

Individu yang dijangkiti kemudian akan mengalami pitam, simptom-simptom gangguan saraf, dan keradangan otak.

Meskipun pelbagai rawatan anti virus digunakan sebagai rawatan sokongan kepada para pesakit, namun sampai ke tahun 2021 masih belum ada ubat atau rawatan langsung terhadap jangkitan virus berkenaan.

Jika pesakit sembuh, sebilangan mereka mengalami masalah saraf jangka panjang termasuk mengalami perubahan personaliti dan sawan.

Walaupun ia menjadi ancaman besar kepada kesihatan manusia, namun strain Virus Nipah yang dikenal pasti setakat ini tidak boleh merebak melalui semburan udara, dan ia bukanlah sejenis virus yang terampai di udara. 

Justeru ia tidak menunjukkan tahap risiko pandemik yang sama dengan virus-virus seperti SARS-CoV-2 tanpa mengalami perubahan genetik untuk meningkatkan kadar penyebarannya.

Buat masa ini virus nipah dikenalpasti tersebar secara meluas menerusi pengambilan makanan tercemar yang telah bersentuhan dengan kelawar.


Selain itu, kajian juga mendapati terdapat kes jangkitan yang berpunca dari najis babi tercemar dan jangkitan selepas sentuhan antara manusia.

Kajian dan analisis lanjut terhadap virus-virus seperti Nipah perlu dilakukan supaya dunia lebih bersedia berdepan dengan ancaman pandemik di masa hadapan.

Menurut pakar virus, Veasna Duong, di kala dunia ditimpa dengan pandemik besar Covid-19, yang menjejaskan banyak negara, pemahaman terhadap penyakit-penyakit yang sedia ada dan berpotensi untuk mengakibatkan bencana serupa sangatlah penting.

"Seramai enam puluh peratus individu yang kami temubual, tidak mengetahui bahawa kelawar menyebarkan penyakit. Masih terdapat ramai individu yang kurang berpengetahuan," kata Veasna Duong dalam satu temubual bersama BBC.

"Kami melihat banyak kelawar di sini dan di Thailand, di pasar-pasar, kawasan rumah ibadat, sekolah-sekolah dan lokasi pelancongan seperti Angkor Wat — terdapat banyak kerumunan kelawar di sana," katanya.


Berdasarkan laporan BBC, setiap tahun Angkor War menerima kunjungan 2.6 juta para pelancong, sekaligus membuka 2.6 juta risiko Virus Nipah untuk berpindah daripada kelawar kepada manusia setiap tahun hanya dari satu kawasan.

Pakar memberi amaran bahawa Covid-19 sepatutnya memberikan kesedaran kepada semua negara di seluruh dunia untuk bersedia berdepan dan mencegah wabak di masa hadapan. — EdisiRakyat.com, 14 Januari 2020


Rujukan bbc.com | who.int

Catat Komen

0 Ulasan