Anwar puji pasukan keselamatan urus himpunan, jamin hak kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menegaskan komitmen pentadbirannya terhadap kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman. Kenyataan itu dibuat susulan himpunan “Turun Anwar” di ibu negara yang dianggarkan menarik penyertaan ribuan orang. 

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan kecemasan sambil menyeru rakyat terus mengamalkan budaya demokrasi melangkaui sekadar turun ke jalanan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang bertugas dengan tangkas, berdisiplin dan penuh dedikasi,” katanya. Mengulas lanjut, Anwar menegaskan perbezaan pendapat tidak harus dilihat sebagai permusuhan. 

Perdana Menteri yang dikenali dengan imej reformis berkata, dirinya kekal “teguh dan konsisten” menjunjung prinsip demokrasi, khususnya kebebasan bersuara dan mengkritik kerajaan. 

“Ahli Parlimen bebas bertanya apa sahaja soalan secara langsung dan membangkitkan bantahan terus kepada saya sebagai perdana menteri. Saya gesa rakyat terus mendesak wakil rakyat hadir dan aktif, khususnya dalam PMQT,” katanya. 

Anwar mengajak rakyat bergerak melangkaui budaya protes semata-mata dengan menggalakkan dialog, perbincangan dan pencarian titik persamaan demi membina negara bersama. 

“Bukan hanya di jalanan, tetapi dengan bangkit meneroka, menguasai dan merebut bidang baharu supaya negara ini dapat digerakkan ke hadapan dengan lebih gagah,” katanya. 

Beliau turut mengundang orang ramai kembali ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat, memaklumkan kerja pemuliharaan besar-besaran sedang dijalankan di bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad.

 “Mercu tanda ini dipulihara bagi merancakkan pelancongan dan ekonomi ibu negara, penuh nilai sejarah, harapan dan semangat kebangsaan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” jelasnya. 

Hantaran Facebook itu dimuat naik selepas perhimpunan aman anjuran pembangkang dan badan masyarakat sivil bagi membantah kos sara hidup yang meningkat serta menuntut kebertanggungjawaban politik.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post