Bahagi kekayaan dengan adil, pembangunan tidak boleh menekan rakyat – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 27 Julai — Agenda pembangunan negara tidak boleh mengorbankan hak dan kebajikan rakyat, sebaliknya mesti dilaksanakan dengan prinsip keadilan dan keseimbangan menyeluruh. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang pembangunan dijalankan harus mengambil kira pelbagai faktor dan tidak menjejaskan rakyat. 

“Jangan kita membangun sambil meroboh. Kita bina gedung, industri, teknologi, zon ekonomi, tetapi rakyat ditekan, tidak dipedulikan. Itu bukan pembangunan sebenar,” katanya.
Anwar berkata prinsip keseimbangan atau ummatan wasatan seperti digariskan al-Quran harus menjadi teras pembangunan negara serta menggabungkan keadilan iman dan ilmu, rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi. 

Beliau menegaskan dasar fiskal adil perlu dilaksanakan, termasuk cukai progresif yang menyasarkan golongan berpendapatan tinggi serta syarikat korporat yang meraih keuntungan besar. 

“Kita tak boleh kenakan cukai pada orang miskin. Kalau sekolah nak dibaiki, duit mesti datang dari mana? Kita kenakan cukai kepada orang kaya dan syarikat yang untung berjuta-juta,” katanya.

Anwar turut menegur syarikat besar seperti Petronas, TNB dan Maybank agar menyelaraskan dasar gaji minimum dengan keuntungan yang diperoleh. “Kalau syarikat untung RM1 juta, tetapi bayar pekerja RM1,500 mana boleh? 

Kita dah naikkan gaji minimum daripada RM1,200 ke RM1,500, sekarang RM1,700. Kita akan terus naikkan secara berperingkat,” katanya lagi. Perdana Menteri menegaskan kemerdekaan bukan sekadar simbol sejarah, tetapi amanah untuk memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan tidak hanya menguntungkan golongan elit. 

Anwar ditemui pemberita ketika melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.— Edisi Rakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post