TURUN — Polis temui parang dan pisau dalam longkang

,

EdisiRakyat.com

EMPAT bilah parang dan tiga pisau ditemui di dalam longkang berhampiran Kompleks Dayabumi, dipercayai dibuang oleh peserta perhimpunan haram yang memenuhi Dataran Merdeka malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata senjata itu ditemui oleh polis bantuan pada 9.30 malam.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya, katanya sambil memberitahu bahawa tiga anggota polis cedera di tangan apabila peserta perhimpunan merempuh kawalan anggota polis di Dataran Merdeka pada 11 malam.

Tiga anggota polis itu di rawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan haram itu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata perhimpuan itu bertukar menjadi ganas apabila mereka mula merempuh kawalan pasukan keselamatan.

Zainuddin berkata sehingga kini tiada tangkapan dibuat terhadap peserta perhimpunan haram itu dan polis sedang mengumpul keterangan daripada orang ramai bagi mengambil tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kami juga akan menyiasat insiden membaling botol air mineral ketika Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berucap untuk menenangkan keadaan," katanya.

Beliau berkata polis juga akan mengesan beberapa pemimpin politik yang dilihat berada pada perhimpunan haram itu.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Para peserta perhimpunan telah menyerbu masuk ke Dataran Merdeka dan mengganggu konsert sempena menyambut tahun baharu yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira setengah jam sebelum detik 12 tengah malam.

Zainuddin berkata berikutan keganasan peserta perhimpunan haram itu, konsert berkenaan yang dihadiri 25,000 penonton terpaksa dihentikan — Bernama