400 ahli Umno tunjuk perasaan depan IPD Kuala Langat

LEBIH 400 ahli Umno bahagian Kuala Langat dan beberapa NGO mengadakan demonstrasi secara aman berhubung isu penggunaan kalimah Allah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di Banting hari ini.
    
Wakil Umno bahagian, Belia 4B, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Jemaah Muslim, Majlis Belia Daerah dan Pekida Kuala Langat membuat bantahan terhadap kenyataan Pengarang Majalah Mingguan Katolik 'The Herald', Paderi Lawrence Andrew bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Mereka juga membuat laporan polis terhadap Lawrence dan membakar patung paderi itu di lokasi berkenaan.
    
Ketua Umno Bahagian Kuala Langat Datuk Sulaiman Karli berkata demonstrasi itu diadakan kerana sampai sekarang tiada reaksi atau permohonan maaf daripada Lawrence berhubung kenyataannya itu.
    
Badan Perhubungan Umno Selangor dalam mesyuarat khasnya Isnin lepas meminta Lawrence menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan umat Islam di Selangor.
    
Beliau berkata kenyataan Lawrence telah membelakangi titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sebagaimana termaktub dalam Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
    
Sulaiman berkata mereka tidak menunjuk perasaan di hadapan gereja tetapi di hadapan IPD kerana tidak mahu menimbulkan ketegangan dengan penganut Kristian di Banting kerana yang menimbulkan masalah ialah Lawrence.
    
"Kami masih sayangkan negara ini. Lagipun kalau salah, senang polis nak tangkap," katanya.
    
Di KUALA LUMPUR, Umno Bahagian Cheras, Pemuda dan Wanita membuat tiga laporan polis berhubung isu itu IPD Cheras pada pukul 3 petang tadi.
    
Setiausaha Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Medhar Syed Abdullah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu tersebut — Bernama

Post a Comment

Previous Post Next Post