Apple setuju pulangkan RM106.8 juta kepada pelanggan

,

EdisiRakyat.com

APPLE dilaporkan bersetuju memulangkan sekurang-kurangnya USD32.5juta  atau RM106.8juta  kepada para pelanggannya di Amerika Syarikat untuk pembelian atas talian aplikasi kanak-kanak dari Apple Store miliknya yang dibuat tanpa kebenaran ibu bapa.

Langkah itu bakal dilaksanakan selepas Apple bersetuju dengan perjanjian bersama Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat, FTC.

Pengerusi FTC, Edith Ramirez berkata, Apple gagal memberitahu ibu bapa tentang tempoh bukaan selama 15 minit yang membenarkan kanak-kanak terus membuat pembelian tanpa perlu memasukkan kembali kata laluan.

Apple turut diminta oleh FTC bagi menukar prosedur bayaran bil bagi memastikan pelanggan mendapat atau diberi kebenaran sebelum mereka dicaj untuk pembelian aplikasi dalam talian.

Syarikat pengeluar telefon pintar itu juga dilaporkan telah memperuntukan minimum USD32.5juta untuk dipulangkan kepada pengguna serta tiada had maksima.

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, Apple tidak akan melawan perintah FTC kerana syarikat itu telah sekian lama menuruti amalan yang ditetapkan pihak kawal selia Amerika Syarikat dan enggan terlibat dengan pertelingkahan panjang di mahkamah.

Tambahnya, Apple telah menghantar 28 juta emel kepada pengguna App Store untuk menawarkan pembayaran balik, dan telah menghantar poskad sebagai mengantikan emel-emel yang gagal disampaikan — EdisiRakyat.com