Mahkamah arah Hadi Awang bayar RM2 juta dalam penghakiman ingkar

,

EdisiRakyat.com

DATUK Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membaya‎r RM2 juta dalam satu penghakiman ingkar diperoleh Mohd Shamsul bin Mat Amin, calon KEADILAN Bukit Besi, Terengganu. 

Abdul Hadi yang juga merupakan Presiden Parti Islam Malaysia, PAS turut diarah membayar faedah 5 peratus dari writ saman difailkan sehingga penyelesaian penuh beserta kos tindakan sebanyak RM1,500.

Perintah mahkamah itu dilaporkan berikutan kegagalan Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.


‎Abdul Hadi disaman oleh Shamsul lantaran Abdul Hadi mengatakan ada calon KEADILAN yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu.

Ekoran dakwaan itu, PAS telah meletakkan calonnya di tiga kerusi DUN di Terengganu yang sepatutnya ditandingi oleh KEADILAN

Ini menyebabkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PAS dan KEADILAN di tiga DUN di Terengganu termasuk Bukit Besi yang ditandingi oleh Shamsul.

Sebelum ini, menjelang pilihan raya kecil Kuala Besut, Shamsul telah meminta Abdul Hadi menarik balik kenyataan dan memohon maaf berikutan kenyataannya menjelang pilihan raya umum itu kerana orang ramai menganggap beliau yang didakwa Abdul Hadi itu.

"Saya minta (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, dedahkan siapa yang dia fitnah sebagai pengedar pil kuda dan sokong komunis ketika berceramah di Tebakang, Alor Limbat, ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu," kata Shamsul dalam sidang media itu.

Ekoran kegagalan Abdul Hadi‎ berbuat demikian menyebabkan Shamsul mengambil tindakan saman terhadap beliau bagi tujuan membersihkan namanya. — EdisiRakyat.com