PESAKA anjur himpunan di Padang Merbok kerana rasa tercabar dengan Bersih 4

PERTUBUHAN Silat Kebangsaan, PESAKA dilaporkan mahu menganjurkan Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September 2015 kerana rasa tercabar dengan tindakan peserta Himpunan Bersih 4 yang menggunakan demonstrasi jalanan untuk menggulingkan kerajaan.

Menurut presidennya, Tan Sri Mohd Ali Rustam‎, Himpunan Bersih 4 yang diadakan di Dataran Merdeka baru-baru ini mencabar maruah mereka.

"Dah buat empat kali, tapi kita tak nak bergaduh, kita biarkan sahaja, yang kedua dan ketiga serta terbaharu keempat, mana pergi maruah kita.

"Mereka terus cabar maruah kita, tak boleh tahan. Sebab itu kita nak buat (himpunan) secara aman ikut undang-undang," katanya.

Justeru, beliau berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan  permohonan permit badan bukan kerajaan (NGO) itu untuk berhimpun di Padang Merbok.

"Saya dah hantar permohonan (permit) pada 8 September lalu, tetapi sehingga hari ini masih belum dapat persetujuan DBKL.

"Saya minta bagilah kita permit, kita bukan nak gaduh, nak jalan-jalan. Kita nak duduk secara aman di Padang Merbok," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menasihatkan perhimpunan tersebut diadakan di tempat tertutup, Mohd Ali berkata Pesaka tiada masalah untuk berhimpun di Stadium Merdeka.

"Kita dah tengok keadaan Stadium Merdeka dan Stadium Negara ada banyak kerja-kerja pembinaan sedang dilakukan. Tapi kalau Stadium Merdeka boleh digunakan, kita tiada masalah kerana itu lokasi pilihan utama kita sebelum ini," katanya.

Pada masa sama, beliau menjemput semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Kita terbuka kepada rakyat Malaysia, semua boleh menyertai perhimpunan ini," katanya — EdisiRakyat.com 

Post a Comment

Previous Post Next Post