Parti pembangkang yang enggan bergabung sebenarnya berjuang untuk BN kata Tun Mahathir

,

EdisiRakyat.com
BEKAS Perdana Menteri Malaysia paling lama berkuasa Tun Dr Mahathir Mohammad menegaskan bahawa semua parti-parti pembangkang di Malaysia harus bekerjasama di dalam menumbangkan Barisan Nasional jika benar-benar berminat menukar kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa, mana-mana parti pembangkang yang ingin bertanding secara bersendirian sebenarnya berjuang untuk kemenangan Barisan Nasional, BN.

"Apabila mereka bertanding secara berasingan daripada parti-parti pembangkang, sebenarnya mereka berjuang untuk BN, kerana dalam 'three corner fight' (pertandingan tiga penjuru) besar kemungkinan yang menang adalah BN" katanya.




Beliau turut mengingatkan sejarah parti-parti pembangkang di Malaysia yang gagal membentuk kerajaan sejak 59 tahun dahulu kerana tidak bersatu.

"Kalau parti-parti pembangkang ini tidak bekerjasama sesama mereka, mereka akan kalah dalam pilihanraya seperti yang sudah berlaku sejak 59 tahun dahulu" katanya.

"Jadi kalau mereka betul-betul berminat untuk menukar kerajaan, dan menentukan kepimpinan baru bagi negara kita, mereka harus bekerjasama secara rapat, secara berkesan..." tambahnya lagi.

Tun Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berkenaan sama ada parti yang baru diluluskan, Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia, BERSATU akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan. — EdisiRakyat.com, 9 September 2016