Pengetua sekolah haramkan kerja rumah, galakkan pelajar keluar bermain

ANTARA perkara yang paling dibenci semasa zaman persekolahan adalah kerja rumah. Ramai pelajar yang berfantasi, alangkah baiknya jika sekolah 'mengharamkan' kerja rumah, sesuatu yang dilihat mustahil.

Bagaimanapun, perkara itu benar-benar terjadi di sebuah sekolah rendah di Portland, Oregon Amerika Syarikat apabila guru besar sekolah itu mengharamkan kerja rumah untuk para pelajar mulai minggu depan.

Malah, para pelajar lebih digalakkan untuk keluar bermain, bermesra dengan ibu bapa, membaca atau dibacakan buku kegemaran, bermain catur dan sebagainya, atau cukuplah sekadar berlari asalkan mereka jadi seaktif yang mungkin.



Kenapa kerja rumah diharamkan?

Sepasukan guru di Sekolah Rendah Cherry Park yang terletak di timur Portland dilaporkan telah menemui satu hasil kajian — Walaupun pelajar sekolah menengah belajar memahami sesuatu subjek dengan membuat kerja rumah, bagi pelajar sekolah rendah, kesannya sangat kecil atau boleh dikatakan tiada bukti langsung bahawa kerja rumah membantu pelajar memahami pembelajaran dengan lebih baik.

Pengetuanya, Kate Barker dilaporkan berkata pemberian kerja rumah bukan satu benda yang bagus untuk mana-mana pelajar sekolah rendah, terutama sekali bagi pelajar di Cherry Park di mana, sekurang-kurangnya 75 peratus pelajar hidup di bawah garis kemiskinan dan keluarga mereka bertutur dengan lebih daripada 30 bahasa.

"Pelajar sekolah diharap akan berinteraksi dengan lebih kerap bersama ibu bapa mereka dalam satu pendekatan yang positif. Selalunya apabila pelajar pulang ke rumah dengan memiliki kerja rumah untuk disiapkan, ia bukanlah pendekatan yang positif antara anak dan ibu bapa," katanya.

"Kami akan galakkan keluarga untuk menemani anak-anak mereka membaca buku-buku kegemaran mereka di rumah," tambahnya lagi.

Menurut Barker lagi, pihak sekolah akan memantau secara teliti jika para pelajar menunjukkan sebarang kemajuan dengan kaedah baru ini, dan jika tidak, sedikit perubahan dari masa ke semasa akan dilaksanakan.

Namun, ini hanyalah melibatkan perubahan kaedah pembelajaran semasa waktu persekolahan, sama sekali bukan untuk kembali memberikan kerja sekolah untuk diaiapkan kepada para pelajar. — EdisiRakyat.com, 11 September 2016


Post a Comment

Previous Post Next Post