Ads Top

10 sikap ibu bapa mempengaruhi tumbesaran anak

SIKAP  ibu bapa  memainkan peranan besar dalam mempengaruhi tumbesaran anak.  Sesuai dengan kata pepatah, 'anak ibarat kain putih, kita yang mencorakkannya', ibu bapa harus mempunyai sikap-sikap yang baik yang boleh memangkin kepada penghasilan anak- anak yang berkualiti.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh di jadikan panduan untuk menambah ilmu keibu bapaan anda:





1. Jenaka

Menurut kajian dalam pembentangan di ' Economic and Social Research Councils Festival of Social Science 2011', untuk mempersiapkan anak ke arah satu kehidupan sosial yang baik, anda perlu mewujudkan satu suasana gembira bersama anak-anak melalui senda gurau dan jenaka.

Gurau senda anda bersama anak-anak bukan saja membuka ruang kemesraan antara anak-anak dan anda, malahan mendidik mereka berfikir secara kreatif dan kritis.

Melalui cara ini, anda membentuk anak yang mudah mesra dan berkawan sekaligus mengajar anak menangani stress.


2. Positif

Kunci utama kejayaan dalam hidup adalah apabila anda selalu bersikap positif. Ibu bapa yang positif mendidik anak berkeyakinan tinggi dan tidak mudah mengalah.

Pertuturan dan tindakan yang positif mudah diteladani anak-anak kerana ibu bapa merupakan guru dan contoh terbesar yang akan diikuti anak sejak dari kecik lagi.

Ekspresi dan kata-kata yang negatif akan menyemai sikap buruk pada anak-anak. Jika tidak dikawal, sikap negatif ini boleh berlarutan sehingga dewasa dan mungkin memberi pengaruh yang besar pada kehidupan anak anda.


3. Belas kasihan

Didik anak agar mempunya belas kasihan bukan saja kepada sesama manusia, tetapi kepada segala benda yang wujud di muka bumi ini.

Anak yang terdidik dengan penuh kasih sayang, di ajar menyayangi binatang, tumbuhan-tumbuhan dan lain-lain akan membentuk anak yang mempunyai sifat terpuji, tidak mementingkan diri sendiri, bertimbang rasa dan mudah bertoleransi dengan orang lain.

Anak-anak ini akan mempunyai keupayaan mengawal pemikiran dan perasaan mereka serta membuat keputusan tentang sesuatu perkara dengan lebih baik.


4. Tidak terlalu melindungi

Ada sesetengah ibu bapa yang mengharapkan anak mereka menjadi terlalu sempurna sehingga bersikap terlalu tegas dalam mendidik anak.

Malangnya anak anda adalah manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan mereka akan belajar dari kesilapan itu juga akhirnya. Secara semula jadi, setiap orang perlu belajar dari pengalaman.

Sifat sesetengah ibu bapa yang terlalu melindungi, membentuk anak yang penakut untuk mencuba sesuatu yang baru dan tidak berani melakukan kesilapan.

Secara tidak langsung anda membentuk anak yang lemah semangat dan menjadi manusia yang sering gagal dalam hidup.

Ini bukan bererti anda tidak perlu mengawal anak anda, tetapi hadkan kawalan anda supaya sifat ingin tahu mereka tidak tersekat dek kerana kebimbangan anda yang keterlaluan.


5. Keharmonian keluarga

Keluarga yang harmoni membuatkan anak berasa gembira dan selamat kerana mempunyai ayah dan ibu yang boleh melindungi mereka dan menjadi tempat mereka bergantung dan berkasih sayang.

Keluarga yang berpecah-belah mempunyai kebarangkalian mewujudkan aura negatif pada anak-anak lebih-lebih lagi bagi pasangan yang tidak mempunyai hubungan yang tidak baik selepas berpisah.

Anak-anak mungkin kurang perhatian dan kasih sayang salah seorang daripada ibu atau pun ayah dan mungkin boleh menjurus kepada kemurungan.

Menurut kajian dalam jurnal 'Child Development' pada Mei 2011, sekiranya ibu hamil mempunyai masalah rumah tangga ketika usia kandungan sembilan bulan akan menyebabkan anak mempunyai masalah tidur di usia 18 bulan.


6. Kesihatan Mental

Untuk memastikan anda dapat menyediakan persekitaran yang baik untuk tumbesaran anak anda, pastikan anda berada dalam keadaan sihat dari segi fizikal dan mental.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, ramai ibu bapa yang mudah berasa stress dan menjurus kepada tekanan perasaan.

Sekiranya anda merasa tahap tekanan perasaan anda berada di luar kawalan, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

 Ini bukan bereti anda sakit mental, tetapi anda sedang bergerak ke arah menjadi ibu bapa yang positif dan cuba menjadi yang terbaik untuk anak-anak anda.

Ramai ibu bapa yang tidak mampu menangani tekanan sehingga melepaskan amarah dan bebanan mereka kepada anak-anak sehingga mengakibatkan kecedaraan fizikal dan mental anak-anak.

Kesan jangka panjang adalah anak mungkin akan menjadi panas baran, ganas dan mudah marah yang mungkin akan terbawa-bawa hingga dewasa.


7. Hubungan yang baik antara ibu dan anak lelaki

Anak lelaki cenderung bersikap lebih agresif dan kasar berbanding anak perempuan.

Hubungan yang baik antara ibu dan anak lelaki sedikit sebanyak dapat mendidik anak-anak menjadi lebih sensitif, dan menjaga tingkah laku .

Sifat ibu yang lembut dan penuh kasih sayang dapat mendidik anak menjadi lebih penyayang dan menghormati golongan wanita.

Anak yang rapat dengan ibu lebih cenderung mendengar kata sekaligus membuatkan ibu bapa berasa tenang apabila berada bersama anak dan membuatkan orang sekeliling selesa bergaul dengan anak anda.




8. Beradaptasi dengan keadaan

Anak-anak kecil yang terlalu dimanjakan cenderung untuk melawan ibu bapa apabila dimarahi.

Lebih teruk lagi, anak yang terlalu dimanjakan akan bersikap lebih agresif dan sukar bergaul dengan teman-teman kerana mereka cenderung bersifat mendominasi.

Ibu bapa perlu bijak menangani anak-anak dengan tidak terlalu memanjakan anak-anak sehingga mereka tidak dimarahi atau dihukum jika melakukan kesilapan.

Anda perlu tahu bagaimana untuk menangani anak-anak yang suka melawan. Wujudkan satu hubungan yang erat dan komunikasi yang baik agar anak-anak dapat membuka hati untuk mengubah tingkah laku.


9. Terlalu sempurna

Tiada sesiapa pun mampu menjadi terlalu sempurna.

Ibu bapa yang baik bukanlah ibu bapa yang terlalu sempurna di mata anak-anak. Anda tidak perlu terlalu memaksa diri untuk menjadi sempurna kerana anda hanya akan membuatkan diri anda tertekan.

Kajian mendapati, ibu bapa yang baru mempunyai anak sering berasa mudah tertekan dan kurang keyakinan dalam ilmu keibu bapaan.

Buangkan kebimbangan dan kerisauan anda dan tanamkan keyakinan bahawa anda mampu menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak.

Biarkan ia berlaku secara semula jadi kerana ilmu keibu bapaan akan dipelajari dan diperolehi seiring dengan perjalanan anda membesarkan anak-anak melalui pengalaman dan persekitaran yang anda lalui sendiri.


10. Kenali anak-anak

Untuk melahirkan anak-anak yang berkualiti, kunci yang paling utama adalah kenali anak anda sedalam-dalamnya dan jadilah teman yang sentiasa ada untuk anak-anak.

Luangkan masa untuk berbual dengan anak-anak dan jadilah pendengar kisah mereka agar anda mampu menjadi penasihat dan teman yang paling mereka percaya.

Sejauh mana anda mendalami isi hati mereka, sedalam itu juga kasih sayang yang akan anda terima. — EdisiRakyat.com, 5 Februari 2017
Powered by Blogger.