Ads Top

Bajet kahwin 2017: 5 perkara boleh dielakkan untuk berjimat






SETIAP pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga mengidamkan sebuah majlis perkahwinan yang sempurna tanpa cacat dan cela. Tidak semestinya sesebuah majlis perkahwinan yang sempurna memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Oleh itu pentingnya penyediaan anggaran perbelanjaan supaya majlis perkahwinan tidak menyebabkan terlalu banyak pembaziran wang pada sesuatu yang tidak perlu.

Bagi anda yang mempunyai bajet yang terhad, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dielakkan dan membuat anda berjimat dalam membelanjakan wang untuk majlis perkahwinan anda.

1. Cenderahati yang mahal tetapi tidak bermakna

Cenderahati adalah satu bentuk untuk menyatakan penghargaan anda kepada tetamu yang hadir. Walau bagaimanapun, pemilihan cenderahati perlu dilakukan secara teliti agar cenderahati yang dipilih mencapai matlamat anda iaitu untuk menyampaikan tanda terima kasih kepada tetamu yang hadir.

Kerap berlaku di mana kita terdorong membeli sesuatu bekas yang mahal atau menempah beg kertas mengikut citarasa dan tema majlis walhal ia akhirnya akan dibuang jua.

Cenderahati yang bermakna adalah sesuatu yang personal dan mempunyai signifikan tersendiri dengan pengantin. Contohnya, memberi coklat kegemaran atau beg yang berisi mufin dan air untuk dinikmati.

Untuk berjimat, eloklah sekiranya anda membeli beg kertas yang sedia ada yang menepati keperluan. Anda juga boleh menggunakan kreativiti anda untuk menyediakan sendiri cenderahati perkahwinan untuk menjimatkan kos.

2. Prop novelti, kain rentang dan bunting

Anda mungkin terikut-ikut 'trend' terkini perkahwinan di mana terdapat ramai pengantin menempah t-shirt, cawan minuman, atau kusyen sepadan yang bertulis "pengantin baru" dan pelbagai aksesori sebagai satu cara untuk menyerlahkan identiti pasangan pengantin.

Barangan novelti ini sememangnya meninggalkan nostalgia manis namun jangka hayatnya amat pendek kerana anda tidak akan digelar pengantin baru untuk selama-lamanya.

Ramai pengantin juga menempah bunting sebagai petunjuk jalan atau digantung di depan rumah.

Fenomena foto booth juga menyebabkan pengantin membelanjakan sejumlah wang untuk menghias kain rentang dengan hiasan khusus dilengkapi pelbagai 'prop' agar tetamu dapat mengabdikan kenangan.



Persoalannya, adakah barangan ini boleh diguna semula atau masih releven selepas majlis berakhir? Jawapannya tentu tidak.

3. Kek perkahwinan bertingkat

Ramai pengantin menempah kek bertingkat-tingkat untuk upacara memotong kek kerana mementingkan kecantikan momen itu didalam foto dan video untuk diabadikan untuk tatapan pada masa hadapan.

Persoalannya, apakah tujuan menempah kek perkahwinan bertingkat-tingkat yang menggunakan banyak krim dan gula untuk kelihatan cantik tetapi kurang digemari?

Bagaimana pula jika tetamu tidak ramai apatah lagi jika majlis anda bersifat formal dimana kebanyakkan tetamu yang hadir adalah golongan matang dan bukannya kanak-kanak.

Kebiasaanya, kek perkahwinan yang bertingkat-tingkat ini jarang habis dimakan walaupun kelihatan mewah.

Sekiranya anda mahu upacara memotong kek anda kelihatan gah dengan kek bertingkat, anda boleh berjimat dengan cara menempah kek yang disertakan dengan replika atau 'dummy cake' di bahagian atas manakala kek sebenar di bahagian bawah.

4. Terlalu banyak momento

Industri perkahwinan di sekeliling kita suka memikat bakal pengantin dengan menawarkan barangan atau perkhidmatan yang kurang penting contohnya pakej fotografi dan videografi yang menelan belanja beribu ringgit.

Persoalannya, berbaloikah nilai yang kita bayar dengan album foto mahupun video perkahwinan itu yang hanya akan dibelek dan ditonton pada masa- masa tertentu sahaja. Begitu juga barangan dekorasi majlis yang bersifat sementara serta kad jemputan mewah.

Tidak salah jika anda ingin mengabadikan momen-momen indah anda yang hanya akan dialami sekali seumur hidup. Ada cara yang lebih berbaloi dan menjimatkan untuk itu.

Anda mungkin boleh meminta bantuan ahli keluarga terdekat untuk merakam foto anda berdua pada hari tersebut. Ataupun anda boleh mendapatkan pakej fotografi tanpa album dan rekalah album khas sendiri bersama-sama pasangan anda.

Dekorasi majlis anda mungkin boleh direalisasikan oleh kaum keluarga anda sendiri tanpa mengupah perunding perkahwinan dan anda boleh berjimat dengan menempah kad yang agak ringkas sesuai dengan matlamat untuk menjemput tetamu dan memberi info berkaitan majlis anda.

5. Pengapit yang ramai


Kredit foto — azhafizah.com

Trend terbaru kini menyaksikan ramai mempelai sukakan kehadiran pengapit pengantin yang ramai, Ia memang kelihatan mengujakan apabila pengantin diapit oleh teman-teman yang memakai baju sedondon.

Malangnya, ia kadang-kadang melibatkan kos yang tinggi kerana anda perlu menyediakan pakaian untuk mereka, bunga tangan dan pelbagai aksesori untuk menambah seri majlis anda.

Kadang-kadang, kehadiran pengapit ini menyebabkan pengantin kelihatan tenggelam dan tidak menonjol di sebalik kumpulan pengapit yang menggerumuni anda. Anda mungkin boleh berjimat tanpa pengapit yang ramai.

Lima perkara diatas jika dapat dielakkan tentu dapat mengurangkan bajet perkahwinan anda dalam tahun 2017 ini tanpa mengurangkan kemeriahan majlis.

Jika sudah ada cara yang lebih murah dengan hasil yang sama, kenapa perlu bayar lebih?

Malah dengan mengelakkan 5 perkara di atas, mungkin anda boleh berjimat sehingga ribuan ringgit dan wang itu bolehlah digunakan untuk pakej bulan madu anda berdua. Bukankah itu lebih berbaloi? — EdisiRakyat.com, 3 Febuari 2017
Powered by Blogger.