Ads Top

Ganjaran RM133,164 tangkap bekas Presiden Peru terlibat rasuah

PIHAK berkuasa Peru menawarkan ganjaran wang sejumlah $30,000 (RM133,164) kepada sesiapa di dunia ini yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya Alejandro Toledo bekas presiden negara itu yang didakwa terlibat dengan rasuah.



Seorang hakim sebelum ini telah mengarahkan penahanannya kerana tuduhan menerima rasuah sejumlah $20 juta (RM88.8 juta).

Toledo dituduh menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht sebagai balasan untuk menganugerahkan kontrak kerja awam. Dia bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Pegawai daripada pihak berkuasa Peru mendakwa, mereka percaya Toledo kini berada di Bandar San Francisco, Amerika Syarikat dan sedang cuba untuk pergi ke Israel.

Toledo yang memegang jawatan presiden dari tahun 2001 sehingga 2006, merupakan seorang profesor pelawat di Stanford University berdekatan dengan San Francisco manakala isterinya memiliki kerakyatan Israel.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Israel telah diminta untuk membantu mencarinya kata sumber kerajaan Peru.

Ketika mengumumkan ganjaran tersebut, menteri dalam negeri berkata pihaknya telah meminta interpol untuk membantu mencari bekas pemimpin itu.

"Sesiapa sahaja di dalam dunia ini yang boleh membantu kami untuk mencarinya boleh menuntut ganjaran tersebut," kata Menteri Dalam Negeri Peru, Carlos Basombrio.

Hakim Richard Concepcion membuat arahan bahawa Toledo sepatutnya direman di dalam tahanan lebih awal, dan permohonan peguam kepada bekas presiden itu patut ditolak.

Odebrecht dilaporkan terlibat dengan skandal rasuah multi nasional, Menerima tawaran pengakuan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, DOJ, ia mengaku telah merasuah sejumlah $800 juta (RM3.55 bilion) kepada pelbagai kerajaan di Latin Amerika.

Mereka turut mengaku telah membayar rasuah $29 juta (RM128.7 juta) di Peru di antara tahun 2005 dan 2014. EdisiRakyat.com, 12 Februari 2017

No comments:

Powered by Blogger.