Sultan Johor arah polis henti siasat video hina TMJ di facebook

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilapor telah mengarahkan pihak polis untuk berhenti daripada siasatan terhadap seorang lelaki yang menghina puteranya melalui sebuah rakaman video yang dikirim di facebook.



Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata Sultan Johor telah bertitah bahawa puteranya, Tunku Mahkota Johor, (TMJ) Tunku Ismail tidak mahu memanjangkan kes tersebut.

"Kami sangat tersentuh dengan titah tuanku," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Ahad.

Wan Ahmad turut memaklumkan bahawa siasatan pihak polis mendapati bahawa suspek telah dimanipulasi oleh seseorang ketika merakamkan video tersebut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan diri daripada membuat video-video yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan palsu dan bersifat ofensif yang mana ia boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara ataupun menghina orang lain.

Sebelum ini rakaman video seorang lelaki yang mengugut mahu mencukur kepala TMJ dan membotakkannya agar serupa dengan 'tok sami' menjadi viral di facebook.

Lelaki dalam video berkenaan bertindak demikian kerana marah apabila sebelum ini TMJ dakwanya telah menuduh 'tan srinya' (Tan Sri Annuar Musa) melarikan duit Majlis Amanah Rakyat, MARA.

Lelaki berkenaan dipercayai seorang yang mengalami masaalah mental. Tindakannya itu juga dipercayai kerana diarahkan oleh orang tertentu. — EdisiRakyat.com, 12 Februari 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post