Ads Top

Lagi pelajar tahfiz didenda dengan getah paip dilaporkan

BELUM lagi reda dengan kisah arwah adik Thaqif yang didakwa didera di sebuah pusat tahfiz, kini terbaru seorang datuk mendakwa cucunya dipukul dengan menggunakan getah paip di sebuah sekolah agama di Batang Kali.

Seorang datuk yang dikenali sebagai Datuk Azizul Rahman Muhammad Zaman berkata cucunya yang berusia 11 tahun telah didenda dengan cara yang sama iaitu dipukul di bahagian tapak kaki dengan menggunakan getah paip kerana gagal menghafal ayat-ayat dalam al-quran.

Beliau pada awalnya tidak mengetahui bahawa cucunya didenda dengan cara itu kerana cucunya tidak pernah mengadu hal itu.



Beliau hanya mengetahui mengenainya apabila bertanyakan kepada cucunya sama anda sekolahnya juga mendenda murid sama seperti yang berlaku pada arwah adik Thaqif dan cucunya mengatakan "ya".

Menurut cucunya, pertama kali dia didenda dengan cara begitu, dia menangis tetapi akhirnya terbiasa apabila kerap kali didenda dengan cara sama sambil menambah bahawa pelajar lain juga tidak terkecuali.

Apabila mengetahui tentang perkara itu, datuk pelajar itu mengambil keputusan untuk segera mengeluarkan cucunya dari sekolah itu Ahad lalu selepas menemui guru dan guru besar untuk bertanyakan mengenai perkara itu.

Menurut datuk pelajar itu, pihak sekolah mengenakan hukuman seperti itu untuk mendisiplinkan pelajar.

Isu diantara pihak sekolah dan datuk kepada pelajar itu dapat diselesaikan dan beliau tidak mahu membuat laporan polis kerana tidak mahu mempengaruhi ibu bapa pelajar lain.

Beliau menyatakan kegusarannya kerana hukuman seperti itu masih dijalankan kerana baginya hukuman seperti itu tidak boleh membuat pelajar menghafaz Al-Quran dengan ikhlas, sebaliknya melakukannya kerana ketakutan.

Guru besar sekolah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Fadhli ketika dihubungi The Star dipetik sebagai berkata, beliau mengakui bahawa kejadian itu berlaku dan hanya mengetahuinya baru-baru ini dan kejadian itu berlaku bulan lepas.

Selepas mengetahui tentang kejadian itu, beliau telah menegur guru-guru di sekolah itu kerana sekolahnya memang ada menyediakan rotan untuk mendisiplinkan pelajar.

Beliau  menambah bahawa mungkin guru sekolah itu secara tidak sengaja telah menggunakan getah paip untuk memukul pelajar di tapak kaki.

Menurut Ustaz Fadhli, pelajar-pelajar di situ didenda kerana lambat menghafaz ayat-ayat Al-Quran walaupun selalu diberi peringatan.

Denda yang dikenakan hanyalah bertujuan untuk mendidik dan untuk mengajar mereka, tidak lebih dari itu hingga ke tahap penderaan.

Berikutan kejadian itu, beliau menyatakan bahawa  telah bertemu semua ibu bapa dan perkara itu telah diselesaikan.

Sekolah ini mempunyai 38 orang pelajar yang terdiri dari 12 hingga 16 tahun.

Ustaz Fadhli berkata tidak ada sebarang aduan daripada pelajar lain bahawa  hukuman itu "terlalu menyakitkan" dan biasanya, mereka akan menunjukkan kemajuan yang baik selepas itu dan tidak akan dirotan lagi.

Diminta mengulas mengenai cucu Datuk Azizul, beliau berkata, "Perkara ini telah diselesaikan dengan penjaganya."— EdisiRakyat.com, 10 Mei 2017

No comments:

Powered by Blogger.