JAIK tahan lelaki pakai seluar pendek di tempat awam

SEORANG lagi lelaki di Kota Bharu diarahkan untuk menghadiri sesi kaunseling selepas ditangkap memakai seluar pendek di tempat awam.

Jabatan Agama Islam Kelantan (JAIK), dilapor berkata seorang daripada pegawainya telah mengeluarkan satu notis kepada lelaki berkenaan selepas dia ditahan berpakaian tidak sopan ketika membeli burger disebuah gerai pada malam hari Isnin lalu.

Sebuah portal berita bola sebelum itu memetik kenyataan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Wan Khairul Hayyee Wali, berusia 30 tahun sebagai berkata, dia baru sahaja selesai bermain futsal, dan masih dalam pakaian sukan ketika dia dilihat oleh pihak berkuasa agama.

Pegawai penguatkuasa JAIK, dilapor telah memberitahu bahawa dia melanggar Enakmen Jenayah Syariah kerana mendedahkan lutut, sekaligus menampakkan auratnya.



Penolong Ketua JAIK (bahagian penguatkuasaan) Mohd Fadzuli Mohd Zain, menjelaskan perkara itu berkata, Wan Khairul tidak akan didenda sekiranya dia memakai pakaian tersebut di gelanggang futsal.

Katanya lagi, peraturan tersebut bukanlah perkara baru kerana ia sudah diperkenalkan sejak beberapa tahun yang lalu.

"Ini bukanlah kes pertama. Kita telah mengeluarkan notis-notis yang serupa kepada tiga lagi lelaki atas kesalahan-kesalahan yang sama ketika pemeriksaan kami sejak awal tahun ini.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan telahpun melalui sesi kaunseling. Individu keempat juga telah berjanji untuk menghadiri sesi tersebut nanti," katanya.

Difahamkan bahawa peraturan tersebut hanya berkuatkuasa ke atas orang-orang Islam, dan bagi mereka yang menghadiri sesi kaunseling tidak perlu untuk membayar sebarang denda bagi kesalahan tersebut. — EdisiRakyat.com, 26 September 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post