Hampir mustahil untuk laksana ICERD kata Tun Dr Mahathir

PERDANA MENTERI, Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata adalah hampir mustahil untuk Malaysia melaksanakan Konvensyen Antarabangsa berhubung diskriminasi kaum (ICERD).

Menurut Perdana Menteri, Konvensyen Antarabangsa penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum (ICERD) — (International Convention on the Elimination of all forms of Racial Discrimination) memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Bagi melakukannya, dua pertiga majoriti parlimen diperlukan, kata Dr Mahathir kepada media Malaysia selepas menamatkan ucapan dalam lawatan kerja dua hari di Papua New Guinea sempena persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada hari Ahad.

Tun Mahathir

Perkara ini hampir mustahil disebabkan jumlah ahli parlimen mewakili kerajaan pada waktu ini, dan juga maklumbalas kedua-dua pihak, dari kerajaan dan pembangkang berhubung perkara itu tambahnya.

Pemimpin kanan parti komponen Pakatan Harapan seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dilaporkan menentang ICERD, sekiranya hak-hak perlembagaan dan keharmonian negara terjejas.

Dalam pada itu pimpinan utama Pas dan Umno, dilaporkan telah bersepakat untuk menganjurkan perhimpunan bersama pada 8 Disember bagi membantah rancangan untuk kerajaan meratifikasi ICERD.

Malam semalam, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilapor memberi amaran kepada Putrajaya, mengancam masyarakat Melayu akan mengamuk bagi membantah rancangan kerajaan meratifikasi ICERD.

Sebagai maklum balas, Dr Mahathir memberi jaminan kepada rakyat bahawa tidak ada kekacauan akan berlaku kecuali dihasut oleh Presiden Umno.

"Kecuali Zahid timbulkan kekacauan, tidak akan ada huru-hara berkaitan ICERD," tegasnya.

Menurut Dr Mahathir, ICERD sensitif kepada orang-orang Melayu.

"Kita boleh berbincang tentang perkara itu kerana kita tidak menolak pandangan rakyat."

"Dalam ucapan saya di perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, saya ada sebut tentang kerumitan ICERD, namun kita tidak bercadang melaksanakannya, sama ada secara penuh atau sebahagian," katanya memberi jaminan.

Malaysia merupakan antara negara yang tidak menandatangani atau meratifikasi perjanjian itu.

Perjanjian itu menyediakan mekanisma aduan kepada mana-mana individu dari seluruh dunia berhubung isu diskriminasi perkauman.

Beberapa pihak berkata ICERD akan melemahkan kedudukan istimewa orang Melayu termasuk kuota yang diperuntukan di dalam institusi awam. — EdisiRakyat.com, 18 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post