Media bebas rakyat untung — Nurul Izzah

PENGGANTUNGAN akhbarThe Heat oleh Kementerian Dalam Negeri membangkitkan satu persoalan yang telah lama menghantui Malaysia. Media massa di Malaysia jelas tidak bebas. Kekangan secara sistematik ke atas media sejauh ini menenggelamkan suara rakyat.

Sejarah membuktikan undang-undang digubal demi masa semakin mengehadkan kebebasan media. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 secara langsung memberi kuasa penuh kepada kerajaan untuk mengawal media pencetakan di Malaysia.

Undang-undang ini memberi kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengawal pemberian lesen pencetakan dan penerbitan. Akta ini dipinda pada 2012 untuk memberikan gambaran ada sedikit kelonggaran, namun menteri masih mempunyai kuasa membatalkan lesen yang dikeluarkan.

Umno memulakan gerakan  menguasai pegangan saham pada tahun 1961. Umno mengambil alih Utusan Melayu, akhbar bahasa Melayu paling berpengaruh pada ketika itu.

Pada 1972, Umno berjaya memegang jumlah saham yang besar dalam Kumpulan Straits Times Press. Seterusnya, Umno meminda PPPA 1984 untuk hanya membenarkan rakyat Malaysia memegang saham majoriti dalam sesebuah syarikat akhbar.

Hasilnya, pada 1984, baki saham dipegang oleh Singapura dalam syarikat tersebut telah dijual, dan dijenamakan semula sebagai New Straits Times Press.

Kita boleh membuat suatu kesimpulan bahawa bukan sahaja undang-undang yang digubal menyekat media cetak daripada bercambah di Malaysia, media yang mempunyai "kebebasan" adalah sama ada dipegang secara langsung oleh Umno ataupun menerusi parti-parti politik sekutu mereka.

Kita boleh jangka apa kesan dari pada keadaan ini. Akhbar yang sepatutnya menjadi suara rakyat kehilangan taring.

Kepentingan akhbar untuk menjaga kebajikan dan kemakmuran rakyat tidak boleh dipandang ringan. Kebebasan akhbar dalam melaporkan sebarang kepincangan yang ada dalam pengurusan negara memberikan kepada rakyat maklumat yang cukup agar mereka dapat membuat serta menyuarakan keputusan yang tepat dalam menentukan arah tuju negara.

Akhbar yang tertakluk kepada undang-undang drakonian tidak akan dapat mencapai potensi tersebut.

Akhbar cuma melaporkan berita-berita positif kepada kerajaan sahaja. Keadaan ini memberikan suatu ilusi kepada rakyat bahawa semuanya baik-baik belaka, walhal perkara sebaliknya berlaku.

Dengan kewujudan media alternatif di internet, sedikit demi sedikit, ilusi ini diselongkar sendiri oleh rakyat. Inilah yang memberikan suatu kesedaran kepada rakyat jelata akan kepincangan selama ini dikatakan sebagai "dakyah pembangkang" oleh media arus perdana.

Reporter Without Borders melaporkan, Malaysia mendapat tempat ke 145 daripada 179 negara pada 2013. Keputusan ini amat memalukan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berkata beliau mahu Malaysia menjadi sebuah demokrasi yang terbaik di dunia!

Media yang bebas seharusnya memenuhi fungsi-fungsi seperti; memberikan rakyat maklumat terperinci dalam menentukan hala tuju keputusan politik mereka, mengawasi kerajaan dari melakukan penyelewengan dan memberikan ruang kepada rakyat untuk berbincang secara sihat tentang perbezaan pendapat dan perspektif sedia ada.

Realitinya, sebarang laporan berita berbentuk negatif terhadap kerajaan, sama ada diselindungkan atau tindakan diambil terhadap akhbar yang berani laporkan berita tersebut.

Demi kesejahteraan dan kebaikan bersama, marilah kita menuntut agar media dibebaskan dari cengkaman undang-undang. Media yang bebas adalah kunci kepada pintu maklumat agar rakyat berpeluang membuat keputusan berpengetahuan (informed decision) dalam menentukan hala tuju negara kita yang tercinta ini!

Post a Comment

Previous Post Next Post