Semakin ramai pelajar ambil dadah kerana harganya semurah RM5

PELAJAR sekolah dan universiti dilaporkan semakin ramai mengambil dadah kerana hanya perlu membayar semurah RM5 untuk membeli bahan terlarang itu yang membolehkan mereka kekal berjaga bagi mengulangkaji pelajaran ketika musim peperiksaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dipetik oleh The Star sebagai berkata, apa yang membimbangkan ialah trend itu kini semakin meningkat.

"Statistik menunjukkan 73 peratus, mereka yang diuji disahkan positif menggunakan ATS (Amphetamine Type Stimulants)  kerana dadah berkenaan lebih murah berbanding kokain atau heroin," katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan mereka yang mengambil dadah jenis itu adalah pelajar-pelajar sekolah menengah.



Dalam tahun 2013, seramai 1,222 disahkan positif, ia meningkat kepada 1,662 pada 2014, dan 1,938 pada tahun berikutnya.

Bercakap kepada wartawan selepas menghadiri satu taklimat keselamatan khas untuk ketua-ketua kampung seluruh negara, katanya kesan dadah sintetik, seperti ATS adalah berbahaya, jika diambil dalam jangka masa tertentu ia boleh membawa kepada kerosakan otak.

"Jika dadah seperti itu diambil selama 7 minggu, ia memakan masa sehingga tujuh tahun untuk penyembuhan dan pemulihan.

"Malah individu itu mungkin tidak dapat sembuh sepenuhnya," kata Nur Jazlan semasa sidang media.

Nur Jazlan yang juga ketua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) berkata, beliau berharap semua universiti-universiti awam untuk menubuhkan kelab-kelab Pemadam.

"Kita beri mereka informasi dan bahan-bahan, dan pelajar-pelajar universiti menjadi aktivis-aktivis kita untuk menyebarkan maklumat tentang bahaya dadah," katanya.

Kata Nur Jazlan, pelajar-pelajar universiti yang menjadi aktivis patut diberikan habuan dengan jam kredit oleh universiti untuk mempromosikan usaha ini.

Katanya lebih banyak usaha diperlukan untuk membendung masalah masalah dadah di lokasi-lokasi panas antaranya perumahan awam, perkampungan nelayan, dan kawasan Felda.

"Lokasi panas' perkampungan nelayan adalah di Kedah, Perlis dan Kelantan, manakala kawasan panas Felda, kebanyakkannya di Pahang, dan kawasan panas perumahan kos rendah kebanyakkannya di Lembah Klang," katanya. — EdisiRakyat.com, 9 October 2017

1 Comments

  1. Dadah perlu dibendung sepenuhnya. Kerana ia akan merugikan bangsa dan negara kalau belia di negara kita terlibat dengan najis dadah

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post