Ada dana PBB tapi Lembah Bujang tak dilindungi?

,

EdisiRakyat.com
KES seperti di Lembah Bujang apabila candi abad ke-8 dirobohkan boleh dielakkan dengan pembentukan jawatankuasa untuk melindungi tapak bersejarah, kata Persatuan Hindraf Malaysia (PHM).

Pengerusinya P Waythamoorthy berkata, jawatankuasa pemandu tapak warisan patut dianggotai pegawai daripada Jabatan Warisan Negara, kerajaan negeri dan persekutuan dan pakar bebas.

Katanya, pihak-pihak itu perlu bekerjasama untuk mewartakan kesemua kawasan warisan sejarah dan mengambil langkah sesuai mengelakkan kejadian yang tidak diingini di Candi 11 berulang kembali.

"Jawatankuasa pemandu tapak warisan patut meliputi semua aspek rancangan pengurusan tapak, pelaksanaan dan membuat cadangan relevan.

Ini termasuk memperkenalkan perlindungan sesuai dalam dasar perancangan sebagai reaksi terhadap ancaman seperti perubahan kegunaan tanah, pembangunan rumah dan aktiviti lain," kata Waythamoorthy.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau juga berkata, timbul tanda tanya kenapa tiada usaha dibuat bagi melindungi Lembah Bujang walaupun mendapat dana daripada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Jabatan Warisan Negara.