Lagi kajian saintifik dakwa vape tidak berbahaya kepada kesihatan

,

EdisiRakyat.com
SATU lagi bukti saintifik bahawa rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape tidak berbahaya kepada kesihatan penghisapnya. 

Hasil kajian yang diterbitkan pada Selasa lalu mendapati, vape telah membantu lebih 18,000 penghisap rokok di England pada tahun lalu untuk berhenti merokok, tanpa meninggalkan sebarang bukti kesan sampingan yang serius meskipun sudah diamalkan sehingga dua tahun.

Para penyelidik dari University College London (UCL) telah membuat analisa terhadap data-data tentang merokok serta maklumat mereka yang berhenti dari tabiat itu di England.

Walaupun tiada bukti-bukti langsung menunjukkan rokok elektronik mendorong lebih ramai orang untuk berhenti merokok, namun mereka mendapati bahawa semakin ramai orang menghisap vape, semakin ramai berjaya berhenti merokok.




Dalam satu kajian berasingan yang juga diterbitkan Selasa lalu, penyelidik dari Cochrane Review mendapati, secara keseluruhannya, rokok elektronik membantu orang ramai untuk berhenti merokok dan ia disahkan tidak mempunyai kesan sampingan yang serius.

Industri Vape yang berasaskan pemanasan campuran cecair nikotin menjadi wap, telah berkembang pesat ke peringkat antarabangsa dengan produk-produk yang telah dihasilkan dianggar bernilai USD7 billion (RM28 billion) pada tahun 2015.

Tidak seperti produk gula getah nikotin, penggunaan vape benar-benar meniru tabiat merokok kerana ia menghasilkan wap seakan-akan asap rokok. Ini dipercayai antara faktor yang sangat membantu seseorang untuk berhenti merokok.

Ramai pakar-pakar kesihatan awam berpendapat bahawa rokok elektronik, yang tidak mengandungi tembakau, merupakan alternatif kepada rokok dengan kadar risiko yang jauh lebih rendah, namun segelintir mereka mempersoalkan kesan jangka panjangnya.

Pakar dilaporkan menganggarkan sekitar 2.8 juta orang di United Kingdom menghisap vape, dan ia telah dikenali sebagai alat bantuan berhenti merokok paling popular di sana.

"England kadang kala dilihat sebagai satu-satunya negara yang bersikap terlalu positif terhadap rokok elektronik," kata Robert West, seorang professor di Health Behavour Research Centre, University College London. Beliau salah seorang yang mengetuai kajian tersebut dan diterbitkan dalam BMJ British Medical Journal.

"Data-data ini menunjukkan bahawa kawalan kami yang dilihat longgar terhadap rokok elektronik nampaknya berasas" tambahnya lagi.

Kajian tentang kesan-kesan sampingan yang dijalankan oleh Cochrane Review mendapati tiada satu pun kesan serius vape dalam tempoh masa penggunaan sehingga dua tahun.

Antara kesan yang disifatkan sebagai tidak serius paling banyak ditemui pula hanyalah rasa tidak selesa pada mulut dan kerongkong. — EdisiRakyat.com, 14 September 2016.