Penyeludup dadah beli air mani banduan untuk lepas hukuman mati

,

EdisiRakyat.com
SEORANG banduan yang sedang menjalani hukuman penjara dilaporkan telah menjual air mani miliknya kepada seorang penyeludup dadah yang telah dijatuhi hukuman mati, bagi membolehkan wanita itu terlepas daripada hukuman tersebut.

Nguyen Thi Hue telah ditangkap pada 2012 atas tuduhan menyeludup dadah sebelum dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah pada 2014.

Bagaimanapun, pada awal Febuari 2016, dia mendakwa dirinya mengandung — ujian perubatan pun telah mengesahkan dakwaannya itu, di mana dia didapati sedang mengandung antara empat hingga lima bulan.




Siasatan mendapati Thi Hue telah menawarkan Nguyen Tung Hung, 27 seorang banduan yang ditugaskan sebagai tukang masak di penjara wang sebanyak RM9,469 bagi membolehkannya mengandung.

Di bawah undang-undang Kanun Keseksaan Vietnam, seseorang pesalah yang telah dijatuhi hukuman mati, boleh mengurangkan hukuman itu kepada penjara seumur hidup, sekiranya mengandung, ataupun mempunyai anak berusia di bawah tiga tahun.

Siasatan turut mendapati bahawa Tuan Hung telah menyeludup dan menyerahkan air maninya sebanyak dua kali menggunakan beg plastik.

Thi Hue kemudiannya memasukkan air mani itu ke dalam rahimnya sebelum dia kemudian disahkan mengandung.

Ujian Deoksiribonuklik Asid, DNA telah mengesahkan bahawa Tuan Hung merupakan bapa kepada bayi yang dikandung oleh Thi Hue. — EdisiRakyat.com, 25 September 2016.