Bomba sanggup bersusah payah panjat tiang selamatkan kucing ketika kebakaran

SEORANG anggota bomba terpaksa memanjat sebatang tiang dengan bersusah-payah dan berhati-hati bagi menyelamatkan seekor kucing yang terkandas gara-gara begitu takut ketika kejadian kebakaran yang berlaku di daerah Thon Buri Bangkok.


Kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi Isnin mengakibatkan 20 buah rumah di sepanjang sebuah kejiranan berhampiran landasan kereta api hangus terbakar, seorang wanita berusia 65 tahun dilaporkan turut terbunuh Dalam kejadian itu.

Sebanyak 20 buah lori bomba dikejarkan ke tempat kejadian namun begitu banyak rumah telah musnah dijilat api. Anggota bomba yang berada di tempat kejadian menggunakan kaedah semburan air bagi mengawal kebakaran bagi menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa dan harta benda penduduk yang terlibat.

Meskipun dalam keadaan pagi yang masih gelap, salah seorang anggota bomba yang berada di tempat kejadian menyedari kelibat seekor kucing berwarna hitam di atas tiang elektrik.

Anggota bomba berkenaan terpaksa bersusah payah memanjat tiang selama kira-kira lima minit untuk membawa turun haiwan malang tersebut.

Kucing itu didapati masih menggigil walaupun sudah diselamatkan dan dibawa pergi dari lokasi kebakaran. Namun keadaannya dilaporkan baik serta tidak mengalami sebarang kecederaan. — EdisiRakyat.com, 10 April 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post