Ads Top

Disekat dari pertandingan catur kerana dikatakan berpakaian menjolok mata

SEORANG pelajar perempuan berusia 12 tahun disekat dari permainan catur oleh penganjur ' National Scholastic Chess Championship' kerana dikatakan berpakaian menjolok mata ketika perlawanan catur yang berlangsung pada 14 April di Putrajaya.

Pemain catur Malaysia dan juga jurulatih pelajar itu yang dikenali sebagai Kaushal Shandar ketika memuat naik status di laman Facebook khamis lalu menyatakan kekesalannya atas kejadian ini.

Gambar yang dimuat naik jurulatih yang dikatakan menjolok mata

Dia dipetik sebagai berkata, pelajar itu merupakan juara catur sekolah di peringkat daerah di Kuala Lumpur berasa dikasari dan dimalukan kerana tindakan pihak penganjur dan ketua pengadil.

Kejadian berlaku ketika pertengahan pusingan kedua di mana tanpa menghentikan jam perlawanan, ketua pengadil memberitahu kepada pelajar itu dan ibunya bahawa pakaian pelajarnya menjolok mata.

Dia menambah bahawa pengarah penganjur menyatakan bahawa pakaiannya menggoda dari sudut tertentu.

Kaushal menambah bahawa kata-kata ketua pengadil itu tidak masuk akal dan mengarut.

Tidak lama selepas itu, ketua pengadil itu memohon maaf kepada pelajar itu selepas sedikit perbincangan dan mengakui tiada apa yang salah dengan pakaiannya tetapi tidak dibenarkan memakai pakaian itu untuk perlawanan seterusnya atas arahan pengarah kejohanan.

Pelajar itu dan ibunya dicadangkan membeli seluar untuk perlawanan seterusnya yang akan bermula pada pukul 9 pagi hari berikutnya tetapi malangnya tiada kedai yang masih buka di kawasan itu pada waktu itu.

Ibu pelajar itu kemudiannya menelefon pengarah kejohanan itu mengenai perkara itu kerana risau anaknya tidak akan dapat bertanding pada perlawanan seterusnya.

Pengarah kejohanan meminta untuk berbincang dengan ketua pengadil  dan menelefonnya kembali tetapi tidak berbuat demikian dan tidak menjawab panggilan kedua ibu pelajar itu.

Keadaan ini menyebabkan kerugian masa dan wang yang telah dilaburkan sebelum, semasa dan selepas kejohanan untuk mendapatkan bimbingan, yuran pendaftaran, perjalanan, penginapan dan kos-kos lain yang ditanggung.

Menurut Kaushal lagi, pelajarnya adalah seorang yang ceria yang telah menunjukkan potensi yang amat besar dalam permainan catur, tetapi kejadian itu membuat emosinya terganggu dan berasa malu.

Kaushal menambah bahawa dia bermain catur di Malaysia selama hampir dua dekad dan tidak lagi pernah  mendengar tentang isu seperti ini dalam mana-mana kejohanan di Malaysia.

Kaushal meminta permohonan maaf secara terbuka daripada pengarah kejohanan itu.

Panggilan telah dibuat oleh sumber ke Persekutuan Catur Malaysia tetapi tiada jawapan.— EdisiRakyat.com, 28 April 2017.

No comments:

Powered by Blogger.