Kebanyakan kes rasuah besar melibatkan Umno kata Tun Mahathir

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, siasatan besar-besaran kes rasuah terhadap pemimpin Umno, bukan kerana mereka dari parti itu sebaliknya kerana jenayah rasuah yang mereka lakukan.

Mahathir

Menurutnya terdapat "ribuan" kes-kes rasuah yang terjadi semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kita ada ribuan kes-kes (rasuah) semasa pentadbiran Najib. Kita tak boleh selesaikan 1,000 kes dalam masa sehari, jadi kita tumpu hanya kepada kes yang besar. Kebanyakan kes yang besar melibatkan Umno,"

"Inilah sebabnya Kenapa kita ambil tindakan terhadap orang-orang ini. Bukan kerana mereka dari Umno, tapi kerana mereka melakukan jenayah," kata beliau dalam satu sidang media lapor News Strait Time.

Perdana Menteri dilapor menjawab tuduhan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sengaja mensasarkan pemimpin Umno dan bukan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain berhubung dakwaan rasuah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi sebelum ini melontarkan tuduhan kononnya ini adalah rancangan Mahathir untuk menghancurkan Umno. Puad juga mendakwa Dr Mahathir tidak melihat MCA, MIC dan Gerakan yang merupakan sebahagian dari kerajaan BN lalu sebagai ancaman. — EdisiRakyat.com, 21 November 2018

Post a Comment

0 Comments