Ads Top

Polis tahan Jamal Yunos kerana pecahkan arak di pagar SUK Selangor

PIHAK Polis dilaporkan telah menahan Datuk Jamal Yunus, ketua Umno Bahagian Sungai Besar, selepas dia melakukan aksi memecahkan botol-botol arak menggunakan tukul besi di depan pintu masuk Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) Selangor semalam.

Menurut Polis Selangor dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Jamal yang juga merupakan pemimpin gerakan baju merah ditahan bersama tujuh lagi pengikut-pengikutnya untuk disiasat, di bawah Seksyen 143 dan Seksyen 268 Kanun Keseksaan, kerana terlibat dalam perhimpunan haram dan menyebabkan gangguan kepada orang awam selepas satu laporan polis dibuat oleh pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan SUK.

Jamal dan pengikut-pengikutnya dilaporkan ditahan pada 1.45 pagi tadi di Sekinchan, Sabak Bernam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dipetik sebagai berkata, pihaknya membawa tahanan-tahanan tersebut ke mahkamah Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Semalam, Jamal telah memecahkan 10 kotak yang dilapor mengandungi 100 botol arak di luar bangunan SUK Selangor dikatakan sebagai simbol protes sebarang cubaan untuk mengadakan pesta arak di negeri itu.



Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu tiba di bangunan kerajaan negeri dan cuba untuk masuk bagi berjumpa dengan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, untuk menyuarakan bantahannya.

Bagaimanapun Jamal dan pengikut-pengikutnya tidak dibenarkan masuk oleh pegawai keselamatan yang bertugas, ini menyebabkan Jamal memecahkan botol-botol arak di depan pintu pagar bangunan berkenaan.

Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, Jamal dan pengikutnya boleh Dipenjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.



Pihak berkuasa tempatan telah menolak untuk memberi kebenaran kepada penganjuran pesta arak Oktoberfest, yang dijadualkan di kompleks beli-belah One Utama di Petaling Jaya selepas polis daerah memaklumkan bahawa Acara itu akan mengundang serangan pengganas.

Acara makanan dan minuman Jerman itu yang dijadualkan di sebuah pasaraya di Klang juga dilaporkan sudah dibatalkan selepas pihak polis memaklumkan terdapat ancaman keselamatan kepada acara itu. EdisiRakyat.com, 6 Oktober 2017

No comments:

Powered by Blogger.